Panel Coach Fadzil, Artis Nabila Huda dan Moderator Azlan Shah Nabees Khan (Bahagian 1/2)
AZLAN SHAH: Bagaimana Abil mendepani suasana Covid-19 ini? Macam mana nak kuatkan semangat?
NABILA HUDA: Bersyukur dengan PKP ini. Abil sentiasa bekerja, kadang-kadang 5-6 jam aje ada kat rumah. Ada ketikanya sebulan tak jumpa anak Abil.
PKP ini membolehkan Abil menikmati sepuas-puasnya bersama keluarga. Apabila PKP selesai, Abil percaya akan rindui masa ni. Ia datang cuma sekali sahaja dalam hidup. Jadi kita kena hargai masa bersama dengan orang yang tersayang.
AZLAN SHAH: Ada yang kata, memanglah seronok duduk di rumah. Tapi bagi yang dah tak ada kerja, tak ada simpanan, tak ada duit. Dah putus asa sangat. Macam mana nak buat sekarang?
NABILA HUDA: Kita bekerja sebagai pelakon ni nampak macam senang. Kita pun bergantung pada apa yang kita orang simpan. Saya ada simpanan tetapi tak sebanyak yang boleh menampung saya untuk survive.
Tapi saya suka fikirkan yang positif. Kita jangan cakap kita selalu susah. Kalau kita cakap yang kita ini miskin, benda itu sebenarnya satu doa. Percayalah ALLAH tak akan bagi kita susah.
Orang yang selalu stres itu selalunya overthinking, paranoid. Kalau kita positif, ada cukup makan kat rumah, kita boleh lalui hari-hari kita dengan tenang. Jadi mereka kat luar tu jangan bersusah hati.
Hari ini saya rindu hendak bersama team saya, berada depan kamera dan berlakon. Tapi bila saya fikir begitu, saya berasa sedih sebab rasa lama sangat begini. Tapi selepas saya mengeluh dan bertanya, kenapa hendak merungut?
Bersyukurlah berada bersama dengan keluarga. Apa kata kalau ini hari terakhir kita? Jadi nikmati sahaja momen ini. Bila fikir begitu, saya tak berasa stres langsung. Malah happy dapat berkepit dengan suami.
AZLAN SHAH: Coach mengalami sesuatu yang mencabar kerana baru sahaja melancarkan Malakat Mall pada Mac dan dapat sambutan luar biasa. Tiba-tiba kena tutup. So mesti risau. Macam mana Coach hadapi rasa stres ini?
COACH FADZIL: Saya rasa saya macam Abil sebab orang positif ni tak rasa stres. Kalau kita buat sesuatu atas perjuangan, sesuatu yang kita yakini, apa yang datang itu adalah cabaran yang kita harus atasi. Malakat Mall sempat beroperasi empat hari sebelum PKP. Ia menyaksikan lebih 24,000 pengunjung,
Tiga hari pertama itu seperti serangan tsunami. Sewaktu mall dibuka, kita kelam kabut dan kerja tak berhenti. Sebab kita bukan sahaja buka grocer sahaja tetapi kedai-kedai lain di dalam mall itu sendiri.
Staf kami di bahagian bayaran seperti tak boleh nak berdiri. Bila ada PKP mereka rasa seperti dapat cuti pulak.
Kalau kami tak buka mall itu lagi, saya akan duduk di rumah sahaja. Tetapi oleh sebab ada pasaraya Raudhah Grocer, pada hari pertama PKP dilaksanakan, kami terus lancarkan program bantuan B40 yang dinamakan Program Zero Hunger khususnya untuk mereka yang bergaji harian yang terus terkesan dari segi pendapatan.
Kami terus lakukan gerak kerja. Pada mulanya hanya nak buat untuk kawasan berdekatan seperti di Cyberjaya sahaja. Tetapi kami mendapat permintaan yang banyak hingga program kami meliputi seluruh Semenanjung Malaysia dengan lebih 70,000 permintaan.
Tapi kita baru dapat dana untuk 4,000. Tetapi kami masih meneruskan usaha ini. Bayangkan kalau kami tiada lagi mall itu. ALLAH dah susun untuk kita riset dan reviu apa yang kita lakukan.
Apa yang kita fikir akan beri impak kepada apa yang berlaku pada segi realitinya. Inner world kita akan cipta outer world kita. Kalau kita nak ubah nasib ke arah yang lebih baik, kita kena ada pemikiran yang baik.
Kalau pemikiran kita negatif, melihat apa yang terjadi sebagai masalah dengan perasaan sudah jatuh ditimpa tangga, macam-macam yang kita boleh rasa. Tapi kalau kita fikir positif dan yakin bahawa ALLAH berada bersama-sama kita, maka kita boleh berusaha.
ALLAH hantar Covid-19, satu makhluk yang kita tidak nampak dengan mata kasar. Benda ini bukan benda yang baik, tetapi kalau kita nampak sisi baiknya, seperti ada masa dengan anak macam yang Abil katakan, tiba-tiba ada masa kita dapat bayar balik hutang dengan berada bersama mereka.
Kita sangat-sangat bersyukur yang mempunyai kerajaan yang sangat berkaliber dengan pasukan frontliner yang cukup hebat. Dari segi pengurusan Covid-19, kita adalah di antara yang terbaik di dunia dengan PM yang sangat simpati dengan apa yang rakyat hadapi.
PM jaga kita dulu, barulah kita jaga kita. Banyak perkara yang positif yang kita dapat lihat dalam tempoh PKP ini.
NABILA HUDA: Pada peringkat awal kita chaos macam mana hendak terima PKP ini. Bila dah lebih 20 hari, kita dah tahu apa yang patut dibuat. Saya dah fikir apa yang saya patut buat sekarang. Kalaulah sebulan kena duduk rumah, apakah yang kerja-kerja lain yang aku boleh buat?
Apa pelan bila masuk bulan puasa ni? Apakah pelan untuk kerja ataupun peribadi? Cuma bila saya fikir, saya kasihan pada peniaga-peniaga kat luar seperti peniaga bazar Ramadan yang mana tak berpeluang dapat hasil pendapatan.
Yang saya boleh bantu sebagai pelakon, kalau ada food delivery hantar makanan pada saya, saya bantu mereka supaya buat secara online. Adalah bantu sekitar 20 % secara online.
Sebab saya sendiri pun ada warung menjual makanan yang terpaksa ditutup. Jadi dengan jualan online, saya dapatlah bayar gaji pekerja. Untuk saya dan keluarga, dah okey asalkan ada beras dan telur, itu sudah mencukupi.
AZLAN SHAH: Ada orang boleh berkepit dengan pasangan. Tapi di China contohnya, keganasan rumah tangga menjadi-jadi sampai bercerai berai. Jadi, bagaimana pasangan dapat manfaatkan masa sebagai waktu yang bahagia, bukannya waktu yang derita.
NABILA HUDA: Sepatutnya kita tak boleh membenci dan bergaduh pun. Sebabnya pertama kali kita setuju dia menjadi pasangan, maknanya kita dah betul-betul nakkan dia seumur hidup kita. So tak boleh ada perasaan benci pun dalam hati kita.
Kalau pun ada rasa meluat ke, jangan ambil serius. Apabila kita dah mula benci, maknanya kita tak boleh nak bersama dengan dia. Jadi kenapa dari awal kita terima dia sebagai suami atau isteri? Kalau rasa benci tu, mulalah tengok gambar-gambar lama, mesej-mesej masa berkenalan, untuk mendapatkan kembali momen yang indah itu.
Saya selalu buat macam tu. Bila saya pilih dia memang saya nak hidup dengan dia. Saya tahu dialah orang yang paling saya sayang dan akan jaga saya sampai hembusan nafas yang terakhir.
Kepada mereka kat luar tu, kadang-kadang samada lelaki atau perempuan ada perangai yang menyakitkan hati. Anggap sahaja yang pasangan kita itu sedang stres. Cuba ambil hati dia. Mustahil boleh sesama benci sebab mereka dulu sama-sama bercinta. Bukannya, pasangan kena kahwin paksa macam dulu-dulu.
AZLAN SHAH: Apa aktiviti yang bagus dilakukan?
NABILA HUDA: Itu masalahnya. Saya di rumah tak tengok telefon. Bila tengok telefon saya akan dapat berita-berita dan video yang menyedihkan. Benda tu buat saya jadi emosional. Saya fikirkan masalah orang lain sedangkan saya kena fikir masa yang akan datang.
Saya tengok fon pun bila saya dah bosan, nak tengok apa lawak-lawak yang best. Bila saya dah tengok lawak yang best, saya akan letak tepi telefon sebab tak hendak terpandang sesuatu yang menyedihkan pula.
Yang bujang di rumah tu janganlah rasa down. Bukan saya bercakap begitu sebab saya dah kawin. Saya pernah hidup sendiri. Saya okey dan saya enjoy seorang. Sekarang ini kita ada facetime, boleh video call dan dapat keluarkan bakat dalaman.
Kalau tidak pun, memasak. Ataupun baring dan bermuhasabah. Apa nak buat dengan kehidupan. PKP ini rasanya sekejap sahaja. Kita semua dah back to basic. Yang bagus mengenai PKP ini ialah, selepas habis semua ini nanti, kita semua dah pandai memasak, melukis dan menjahit.
AZLAN SHAH: Coach ada rangkaian tadika yang terbesar di Malaysia. Ramai parents rasa stresnya urus anak-anak di waktu PKP ini. Mungkin anak-anak yang sekolah rendah dan menengah boleh belajar sendiri. Bagaimana dengan anak yang kecil yang meragam ini? Apa cadangan yang baik untuk parents dalam menangani anak-anak kecil ini?
COACH FADZIL: Kita kena tengok PKP ini sebagai satu peluang yang ALLAH hadirkan kepada kita. Dalam hidup saya, tak pernah terjadi keadaan begini di mana ibubapa terpaksa berada bersama anak-anak mereka. Saya selalu bertanya berapa ramai ibubapa yang luangkan masa pada setiap hari dengan anak, sebelum PKP ini.
Boleh dikatakan 99 % daripada mereka kata mereka tiada masa kualiti dengan anak-anak mereka. Jadi anak-anak menghabiskan lebih banyak masa dengan pengasuh dan guru-guru tadika di sekolah. Kita kena lihat ini adalah waktu untuk kita bayar hutang masa bersama mereka.
Bagi ibubapa yang bekerjaya dan yang sangat-sangat tiada masa dengan anak-anak, mereka kena ambil ini sebagai satu peluang. Terdapat juga ibubapa yang berkata yang mereka risau dengan perkembangan anak yang terbantut kerana lama tak ke sekolah.
Namun sekarang ini ada kelas online dengan kerja rumah. Tetapi ia bukannya perkara penting. Di Brainy Bunch, saya menekankan bahawa pembangunan anak ini harus dilihat dari perspektif pembangunan lima komponen.
Spiritual, intelektual, fizikal, kreatif dan emosional. Tetapi dalam tempoh PKP ini kita tak perlu risau yang intelektual dan fizikal. Kita hendak fokuskan kepada emosional dan asas spiritual yang sangat penting.
Inilah waktu untuk kita luangkan agar dapat bersolat berjemaah lebih kerap dengan mereka. Mungkin ada anak-anak yang dah bosan dan marah sebab terkurung. Berikan mereka tengok video tempat-tempat yang lebih teruk. Bandingkan dengan negara kita ini supaya mereka dapat mengetahui dan bersyukur dengan apa yang kita ada.
Pada masa yang sama, kita nak bina kekuatan emosi dengan anak-anak melalui benda-benda yang simple dengan borak-borak kosong. Tanya mereka apa sahaja dan dengar apa yang mereka jawab.
Kalau anak-anak tadika, kita tak payah tanya sebab mereka pulak yang akan tanya kita 1,001 soalan. Anak-anak perempuan pula pandai buat cerita.
Ambillah gambar, video sebanyak mungkin sebab inilah waktu yang ALLAH bagi untuk kita. Kalau kita lihat ini sebagai satu peluang, suburkan kasih sayang dan bonding.
Kita tak perlu ajar anak matematik atau yang susah-susah. Itu sekolah boleh buat. Bila habis PKP hantar anak ke sekolah dan sekolah akan bereskan. Tak perlu pening kepala. Berikan kemahiran kehidupan seperti memasak, kemas rumah, cuci pakaian, basuh pinggan dan sapu sampah.
Pada kita ia adalah sesuatu yang simple. Tetapi bagi mereka ia adalah satu kejayaan. Mereka suka bila diberi kepercayaan dan kuasa. Jangan bimbangkan tentang akademik, kerana pihak sekolah boleh bereskan.
Comments