Keputusan PRU 15 menyaksikan tiada Parti yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baru. Pakatan Harapan (PH) mendapat bilangan kerusi terbanyak sebanyak 82 diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) 73, Barisan Nasional 30, Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 6 bersama 6 wakil bebas.
Rakyat sudah memilih dan Allah telah tetapkan tiada satu Parti pun yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Ini sebenarnya merupakan peluang yang terbaik untuk Malaysia di perbetulkan secara bersama.
Saya mencadangkan agar kerajaan Perpaduan dibentuk dan diwakili oleh semua parti yang bertanding untuk bersama memulihkan negara kita yang rosak teruk akibat perpecahan politik lebih 20 tahun yang lalu.
Saya yakin bahawa semua pemimpin yang menang sayangkan negara tercinta dan pastinya bersedia mengetepikan ego dan ideologi masing-masing dan bersedia untuk bertolak ansur bagi membina semula Negara ini secara bersama.
Melayu, Cina, India dan kaum Bumiputera dari Sabah, Sarawak dan orang asal harus menyatu dan mengetepikan kebencian yang sebenarnya tidak mendatangkan manfaat kepada negara malah menjadi penyebab kenapa Negara kita tercicir dari arus kemajuan berbanding negara-negara jiran kita walaupun Malaysialah yang terlebih dahulu maju pada masa lalu.
Bersamalah dan bersatulah demi mewujudkan Ekonomi berpendapatan tinggi dengan Gaji minima RM 5,000 sebagai sasaran utama bagi setiap rakyat Malaysia.
Jika Singapura mampu dan berjaya Malaysia yang mempunyai lebih keupayaan pasti akan lebih berjaya!
Pendidikan percuma untuk semua khususnya golongan menengah kebawah pastinya dapat diberikan jika Kerajaan Perpaduan yang menyatukan semua Bangsa Malaysia dapat diwujudkan.
Kesihatan yang diasaskan dengan perubahan gaya hidup yang sihat pastinya dapat mengurangkan belanja kesihatan akan dapat dicapai jika anda semua pemimpin yang kami pilih mengetepikan ego masing-masing demi Negara tercinta!
Rakyat Bukan Islam pasti akan menghormati hak dan cara hidup orang Islam jika pemimpin yang beragama Islam menunjukkan sikap mendahulukan kepentingan Negara dan semua rakyat dan mengetepikan kehendak parti sebelum PRU.
Ummat Islam pula akan tenang dan bergembira apabila cara hidup Islam yang telah pun dilindungi oleh perlembagaan akan dapat diamalkan dengan bimbingan Ulama dengan pemimpin Negara memahami bahawa orang Islam hanya ingin berusaha mentaati perintah Allah dengan mengikut cara Nabi Muhammad SAW tanpa memaksa dan menekan orang yang bukan beragama Islam.
Golongan yang menolak Agama tidak kira apa bangsa pun sebenarnya telah melanggar rukun negara dan tidak wajar diberi ruang untuk menyebarkan fahamannya di Negara ini.
Inilah aspirasi utama rakyat Malaysia yang hanya mampu dapat dicapai jika semua pemimpin tidak kira bangsa dan agama berusaha untuk memahaminya dan menghormati perbezaan sesama.
Wahai pemimpin Negara Ku, duduklah dan bincang lah bersama!
Kamu semua mempunyai peluang untuk mencipta sejarah dunia dengan mengetepikan perbezaan dan mencari titik persamaan bagi memulih Negara tercinta ini.
Dato Seri Anwar boleh berganding dengan Tan Sri Muhyidin disertai dengan presiden parti-parti lain dan berusaha membentuk Kerajaan Perpaduan.
Kita boleh pelajari dari Negara Indonesia dimana seteru politik diajak bersama dalam kerajaan dan yang terbaik di bahagian masing-masing diberi peranan bagi membina Negara secara bersama.
Kami rakyat sudah penat menunggu lebih 20 tahun peperangan politik yang tidak berkesudahan yang menjadi lebih parah dalam tempoh 4 tahun yang lalu.
Janganlah diteruskan perbalahan dan usaha membeli parti dengan tawaran Rasuah yang pastinya akan membawa kepada kehancuran yang lebih parah terhadap Negara tercinta.
Semoga Allah membuka hati dan menggerakkan semua pemimpin PH, PN, BN, GPS dan GRS untuk bersama dan menyatu membina Kerajaan Perpaduan Malaysia!
Dalam tempoh 5 tahun, berkerjalah demi Rakyat dan Negara. Hentikan perbalahan politik dan binalah semula Negara ini dari kertas kosong semula. Kontrak sosial baru harus ditulis semula dengan wakil pelbagai Bangsa harus bersama memahami dan menghormati sesama dengan Islam sebagai Agama rasmi Negara dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Negara.
Pulihkan Ekonomi, Pendidikan, Kesihatan, Keimanan dan sistem sosial yang akan menjamin kehidupan yang selesa untuk Rakyat Malaysia.
Saya dan rakan-rakan bersedia berkhidmat demi negara tercinta.
Salam Cinta dan Sayang buat semua.
Coach Fadzil
Pengasas Kumpulan Malakat & Brainy Bunch
Comments