Penjelasan Kenapa Anda Patut Bayar Yuran Taska & Tadika Walaupun Tidak Hadir

Saya merasa terpanggil untuk menjelaskan perkara di atas. Semalam di group telegram pengusaha Taska dan Tadika riuh dengan pelbagai rintihan pengusaha Tadika dan Taska yang sangat terkesan dengan PKP.

Ada segelintir ibubapa yang merasakan mereka tidak perlu membayar yuran bulanan atas sebab mereka tidak menghantar anak ke Tadika atau Taska tersebut.

Sebelum mengulas isu tersebut, kita harus memahami dahulu peranan dan tanggungjawab Tadika dan Taska swasta dalam masyarakat. Perkhidmatan Taska dan Tadika merupakan sistem sokongan pengasuhan anak-anak usia kecil yang sangat penting dalam negara.

Di negara-negara maju pengiktirafan pendidikan awal kanak-kanak sebagai institusi terpenting pendidikan anak-anak sangat di hormati. Saya nukilkan kata-kata Dr Maria Montessori ‘The most important period of education is the first six years’. Ulama juga mengatakan pendidikan tujuh tahun yang pertama anak-anak adalah seperti mengukir tulisan di atas batu. Ianya kekal selama-lamanya.

Di negara kita masih terdapat tanggapan yang rendah terhadap golongan pendidik pendidikan awal kanak-kanak. Segelintir masyarakat menganggap mereka hanya pengganti amah atau orang gaji menjaga anak-anak mereka.

Jika dibarat kos penjagaan anak-anak khususnya untuk perkhidmatan ‘Day Care’ kosnya di caj dengan yuran harian. Kalau di Australia kini kos sehari adalah sebanyak AUD 100. Pastinya akan ada yang berkata, ialah pendidikan mereka lebih hebat dari kita di sini. Pastilah mereka lebih mahal.

Tuan Puan yang saya kasihi sekalian. Banyak pengusaha Taska dan Tadika yang saya kenal memperjuangkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak seluruh hidup mereka. Mereka terus menerus belajar memperbaiki kualiti dan teknik pengajaran dengan menghadiri pelbagai jenis kursus dan lawatan ke luar negara bagi memastikan mereka memberi yang terbaik untuk anak-anak anda.

Kami di Brainy Bunch juga setiap tahun menghantar guru-guru kami ke luar negara seperti Australia, Jepun, America dan India mempelajari sistem mereka dan menambahbaik sistem mereka.

Satu perkara yang saya cukup pasti, sehebat mana mereka pun pendidikan Islam hanya dapat diterapkan oleh guru-guru Islam kita yang sangat tabah mengajar anak-anak kecil ini.

Pastinya tempoh PKP yang agak lama ini semua ibubapa menghadapi cabaran untuk menyediakan aktiviti dan melayan karenah anak-anak kecil yang pelbagai. Banyak status-staus media sosial yang saya lihat menyatakan mereka sangat penat kerana terpaksa menjaga anak-anak mereka yang pelbagai karenah.

Bayangkan tugas guru-guru Taska dan Tadika yang memilih untuk membantu anda menjalankan tanggungjawab mengasuh anak anda setiap hari selama tempoh 3-4 tahun sebelum mereka melangkah ke peringkat yang lebih tinggi.

Kebanyakkan anak-anak ini belajar membaca Al Fatihah dan bacaan solat hampir 100% dari guru Taska dan Tadika mereka. Bukan mudah untuk memiliki kesabaran yang dimiliki oleh guru Taska dan Tadika. Saya sendiri sangat kagum dengan keupayaan mereka.

Sebenarnya ianya bukanlah suatu yang pelik. Allah telah anugerahkan kekuatan dan kehebatan masing-masing. Pastinya Tuan Puan mempunyai kemahiran tertentu dalam bidang kerjaya Tuan Puan. Begitu jugalah guru Taska dan Tadika.

Baik kenapa yuran Tadika dan Taska di Malaysia dibayar secara bulanan? Adakah ianya sama seperti membayar keahlian gym? Kalau tak datang boleh minta ‘freeze payment’.

Untuk makluman ibubapa sekalian, bayaran bulanan dikenakan bagi membolehkan semua ibubapa mampu membayar yuran tersebut. Boleh sahaja jika Tadika dan Taska mengenakan bayaran mengikut penggal atau tahunan seperti kolej dan universiti. Kerana anak-anak ini didik dengan kurikulum yang dibina khusus untuk mereka yang mempunyai tempoh tertentu dan sasaran tertentu sepanjang tempoh pembelajaran sehingga mereka tamat dan di raikan dalam majlis graduasi.

Mungkin ada yang akan mengatakan dulu saya tak masuk Tadika pun, okay jer. Zaman dah terlalu banyak berbeza Tuan Puan. Anak-anak kini mempunyai keupayaan belajar dengan cara bermain dan kesannya mungkin tidak dapat dinilai keseluruhannya sekarang.

Tetapi asas belajar dan asa agama dibina diperingkat 6 atau 7 tahun pertama mereka. Bagi kita yang menjadi ibubapa, anak adalah insan yang terpenting dalam hidup kita.

Berbalik kepada isu pembayaran yuran Taska dan Tadika di masa PKP. Tuan Puan harus sedar yang Tuan Puan memerlukan perkhidmatan Taska dan Tadika seberapa segera apabila kerajaan menamatkan perintah PKP. Apakah yang akan berlaku sekiranya Tuan Puan tidak membayar yuran sekarang ? Pastinya tindakan tidak membayar yuran akan memberi kesan serius kepada pendapatan Guru-guru Tadika dan Taska secara langsung.

Kebanyakkan pengusaha tidak mempunyai dana lain untuk membayar kos gaji guru-guru ini selain daripada kutipan daripada yuran bulanan. Banyak Taska dan Tadika membincangkan kemungkinan besar mereka terpaksa tutup operasi kerana tidak mampu membayar gaji guru-guru taska dan tadika.

Ini kemungkinan besar akan menjatuhkan lagi moral dan semangat guru-guru Taska dan Tadika untuk kekal dalam sektor terpenting negara ini.

Kita tidak mahu ini berlaku. Sekiranya anda tidak terjejas dari segi pendapatan dalam tempoh PKP ini, bayarlah Yuran Taska dan Tadika anak anda. Seperti mana kebanyakkan anda tetap menerima gaji walaupun tidak bekerja sepenuhnya, anggaplah anda seperti majikan anda yang akan terus tetap membayar yuran Taska dan Tadika walaupun tidak ada persekolahan.

Mendidik anak-anak Anda tidaklah di ukur dengan berapa banyak yuran yang dibayar. Cinta dan kasih sayang yang diberi oleh guru-guru Taska dan Tadika tidak mungkin dapat dinilai dengan wang ringgit. Mereka adalah ‘extended family’ anda.

Perkhidmatan mereka akan ditagih semula selepas tempoh PKP ini berakhir. Bagilah mereka berehat dari tugas mencabar kerana kita mahukan mereka kembali dengan semangat yang lebih hebat mendidik anak anda sekembalinya mereka dari tempoh PKP ini.

InshaAllah wang digunakan untuk membayar yuran Taska dan Tadika saya doakan menjadi asbab untuk Allah terus memberkati dan melindungi keluarga Tuan Puan dari sebarang bencana.

Maafkan saya jika terguris hati. Saya cuma sangat sedih sekiranya Taska dan Tadika terpaksa ditutup jika mereka tidak boleh membayar gaji guru-guru mereka.

Semoga Allah memberikan kita semua kejernihan hati dan kekuatan untuk bertindak dengan sebaiknya.

Yang menyintai anda.

Coach Fadzil
Pengasas Kumpulan Pendidikan Brainy Bunch
Pengasas Malakat Mall
Pengasas Raudhah Grocer
#CoachFadzil #ECCE #HargaiGuruTaskaDanTadika

Leave a Reply