COVID-19: WAKE-UP CALL UNTUK MUSLIMIN

SELAIN daripada kebimbangan kita berdepan dengan pandemik Covid-19, ia sebenarnya adalah suatu wake-up call atau seruan untuk bangkit bagi kita kaum Muslimin. Dua personaliti berbincang daripada sudut agama dan ekonomi.

Berikut adalah bahagian pertama diskusi FB Live di Malakat Mall pada 26.3.2020 mengenai tajuk di atas. Diskusi dihadiri Coach Fadzil Hashim, Pengasas Malakat Mall dan Brother Firdaus Wong, dari Multiracial Reverted Muslim. Moderatornya ialah Dr. Taha Omar.

DT: Apakah Covid-19 ini suatu wake-up call kepada kaum Muslimin? Kalau benar, dari siapa dan kepada siapa?

FW: WAKE-UP itu bermaksud bangkit. Kalau bangkit daripada tidur, ia bermakna kita bangun dari keadaan yang lena dan selesa. Wake-up itu memaksa diri untuk bangun. Ada orang yang tak boleh bangun bila dikejut. Ada yang kena tampar. Kalau ikut hadis nabi, kena renjiskan air untuk bangunkan seseorang.

2. Mengapa ini wake-up call? Bila ALLAH menimpakan penyakit, saya percaya ia bukan pengakhiran. Ini wake-up call untuk kita yang cukup nikmat. Apakah kita akan membantu mereka yang dalam kesempitan ini? Ia adalah untuk kita yang beriman kepada hari kiamat.

3. Apakah yang kita hendak jawab di hadapan ALLAH swt nanti ketika kita di dalam PKP? Kita ada cukup makan, tetapi mengapa kita tidak fikir kepada orang sebelah kita? Ada hadis dalam kitab oleh Imam Bukhari, Al-Adab al-Mufrat mengenai hak jiran tetangga.

4. “Tidaklah mukmin orang yang kenyang sementara tetangganya lapar sampai ke lambungnya.” Maka seruan untuk bangkit kita ialah untuk kita semua.

CF: PADA saya ia adalah wake-up call bagi kaum Muslimin bila kita diarah untuk duduk di rumah. Ada yang melihatnya sebagai bercuti bergaji. Ada yang mengambil kesempatan untuk membuat resipi. Kedua-duanya tak salah. Tapi kalau kita lihat betapa seriusnya Covid-19 dan impaknya kepada kehidupan kita selepas ini.

2. Pada hari ini Covid-19 memberi kita pengajaran tentang kebersihan. Ke mana pun pergi kita cari sanitizer. Rasulullah ada sebut tentang kebersihan, ‘Bersih itu sebahagian daripada iman.’ Yang sebelum ini kita ambil sambil lewa.

3. Tetapi dari aspek membina ekosistem ekonomi Muslim yang kita cuba cetuskan melalui program ayuhbangkit pada tahun lepas, hari ini apabila berlaku Covid-19, banyak sifu-sifu perniagaan terkesan dengan apa yang berlaku.

4. Kebanyakan perniagaan orang Islam di Malaysia dilakukan secara online. Dalam sektor peruncitan, dari 110 bilion, orang Islam hanya menguasai 8 % sahaja. Bila berlaku Covid-19 ini, perniagaan apakah yang tinggal?

5. Sepuluh hari yang lalu, tiada Malakat Mall ataupun Raudhah Grocer. Sepuluh hari yang lalu, kita tiada bangunan yang boleh berfungsi sebagai Pusat Pemulihan Bencana. Tetapi takdir ALLAH menyusun dan memungkinkan kita ada platform yang bolehkah kita jadikan contoh kepada kaum Muslimin sebagai contoh.

6. Covid-19 ini adalah sebagai satu tamparan atau kad kuning. Jika kita ambil hadis Rasulullah, “Sekiranya berlaku kiamat sedangkan di tangan seorang daripada kamu ada benih tamar dan dia berupaya menanamnya sebelum kiamat, maka hendaklah dia menanamnya, dengan itu dia mendapat pahala.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

7. Kalau kita ambil Covid-19 ini sebagai petanda waktu akhiruzaman semakin pendek, maka inilah waktu kita menanam. Pelan 10 perancangan tahun terpaksa dipercepatkan sebeberapa segera.

8. Kita bersyukur apabila kerajaan memberi kita moratorium selama enam bulan. Tetapi ini juga membayangkan implikasi Covid-19 ini amat besar. Kalau Bank Dunia menjangkakan kemelesetan ini adalah setahun, saya menjangkakan kesannya adalah sekurang-kurangnya dua tahun untuk kita pulih semula.

9. Tetapi itu juga bergantung kepada tindakan. Jika kita masih tidur lagi, dan tidak lihat ia sebagai suatu seruan untuk bangkit, maka tunggulah hari di mana tiada apa-apa lagi bantuan apabila kerajaan sudah tidak mampu. Sekarang ini moratorium enam bulan bertujuan supaya kita ada wang untuk dibelanjakan untuk menghidupkan ekonomi.

10. Mereka yang tak faham ekonomi tidak lihat begitu. Ada yang terus menyimpan wang itu. Ada juga yang membeli barang untuk membantu diri sendiri sahaja dan tidak bersedekah sebaliknya hanya menunggu bulan Ramadan.

11. Janganlah tunggu sehingga saudara-saudara kita kelaparan baharulah hendak memberi sedekah. Kita boleh lihat wake-up call untuk kita lihat kekuatan ekonomi yang kita tidak miliki. Selama ini kita membeli di mana?

12. jika kita ke Batu 14 Puchong, kedai-kedai runcitnya tiada barangan kerana tiada sesiapa yang dapat membekalkan barangan kepada mereka pada waktu ini. Di kampung-kampung, kedai-kedai runcit dah tak ada barang sebab kita tidak menguasai rangkaian perbekalan.

13. Kita terpaksa bergantung dan mengharapkan bekalan daripada orang lain. Kalau ini bukan wake-up call apa lagi petunjuk yang kita mahu? Memang Covid-19 adalah wake-up call untuk kita khususnya kepada para usahawan untuk bermuhasabah.

Leave a Reply