TEMUBUAL COACH FADZIL BERSAMA
WILAYAHKU, MEDIA WARGA KOTA
Idea Malakat Mall ini tercetus pada tahun 2019 ketika saya buat program Ayuh Bangkit. Program pertama bermula pada bulan Mac tahun lepas. Ada empat siri yang kita buat. Program Ayuh Bangkit adalah untuk mencetuskan bebangkitan ekonomi umat Islam. Sebabnya kita sedar sudah masuk 63 tahun kita merdeka, keadaan ekonomi umat Islam dari segi peratusan khususnya bukannya semakin baik tetapi sebaliknya.
Setelah program ini dibuat, saya buat program bimbingan percuma kepada usahawan, apa yang saya dapati di antara masalah usahawan ialah ketiadaan marketplace. Dalam sektor peruncitan, dari RM110 bilion nilai belanja peruncitan pada 2019, 60 % yang dapat manfaat ialah syarikat asing manakala kaum bumiputera hanya 8 % sementara bakinya 32 % untuk syarikat asing.
Kenapa kita ini sebagai pengguna paling besar tetapi kita memperoleh nilai terkecil? Yang belanja orang kita, tetapi yang membekalnya orang lain. Ketika saya membimbing para usahawan, saya dapati isu mereka bukannya kerana kurang ilmu perniagaan, sebab mereka juga banyak ilmu. Rupa-rupanya saya dapati mereka punyai masalah berniaga kerana mereka bertempur di pasaran yang sesak atau di crowded marketplace.
BENARKAH BISNES ONLINE ITU BISNES MASA DEPAN?
Orang Melayu masih berniaga di pasar malam, pasar tani dan mungkin secara online. Sesetengah orang beranggapan bahawa perniagaan online itulah masa depan perniagaan. Banyak yang berasakan online itu dah cukup besar.
Bagaimana pun saya suka tengok kepada data. Data menunjukkan, dari RM110 bilion yang dibelanjakan, lebih 80 % atau lebih RM88 bilion adalah perbelanjaan di mall-mall atau secara offline. Volume di mall lebih besar dari online dan juga pasar-pasar malam.
Atas kesedaran itu, ketika menganjurkan AyuhBangkit 3.0, tercetus idea untuk membuka mall. Memang pada asalnya kami memang ada rancangan membuka mall, tetapi dalam tempoh yang lama lagi iaitu setelah terbinanya kawasan kediaman Raudhah City terlebih dahulu.
Bila saya sedar pentingnya terbinanya sebuah mall, saya terus usahakan. Kalau tidak saya berasakan apa yang saya katakan sebelum ini tak ubah seperti sembang kosong semata-mata. Oleh kerana pasar di mana usahawan kita bertarung adalah di pasar yang kecil, mereka tidak mungkin dapat berkembang dan meningkatkan pemilikan ekonomi dalam negara.
Kerana itu saya berkata, “Mari kita ambil alih 50 % daripada syer syarikat-syarikat asing.” Sebabnya syarikat-syarikat asing buka perniagaan di negara kita untuk menjual ayam, jual baju yang mana ini semua kita sendiri boleh buat.
MEREKA TENDANG KITA KELUAR!
Bila kita kaji, kita dapati usahawan kita tiada tempat untuk memasarkan produk-produk mereka. Kenapa tiada usahawan-usahawan Melayu di pasaraya-pasaraya yang besar itu? Saya sendiri ada pengalaman untuk memasarkan barangan di dalam mall.
Bila kita ketuk pintu untuk masuk, mereka bukannya membenci kita. Itu bukan isunya. Sebaliknya kita akan dapati kosnya amatlah mahal. Pertama, sewanya sahaja sudah mahal. Yang kedua, walaupun dapat masuk ke dalam mall yang baharu misalnya, dan apabila mall itu semakin dikunjungi para pelanggan, maka datanglah jenama-jenama besar atau antarabangsa yang mampu menyewa dengan harga yang lebih tinggi.
Akhirnya kedai-kedai usahawan-usahawan kita akan diganti oleh mereka. Dalam bahasa kasarnya, mereka tendang kita keluar. Sebab itu kalau kita tengok mall-mall besar seperti KLCC mahupun di KLIA pun, berapa banyak usahawan Melayu yang ada?
Kita boleh marah pada mereka dengan mengatakan mereka anak tirikan kita dan sebagainya. Tetapi apakah itu akan selesaikan masalah? Kerana itu selepas AyuhBangkit 3.0, tercetuslah idea untuk membuka mall kita sendiri yang diberi nama Malakat Mall.
RAHSIA DI SEBALIK NAMA MALAKAT MALL
Orang tanya pula, apa makna Malakat Mall? Pada hari ini kita juga biasa dengar kata-kata bahawa orang Melayu tak pandai berniaga, sebab itu kita teruk. Tetapi, bila kita kaji sejarah, kita akan dapati orang Melayu juga hebat. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, bandar Melaka adalah di antara bandar yang terkaya di dunia.
Sebab itu, kita berasakan yang kita harus kembalikan semangat itu sekarang. Kerana itu kita ambil nama Malakat, iaitu bermaksud ‘tempat pertemuan pedagang’ yang diberikan oleh peniaga Arab terhadap Melaka.
FAKTOR COOL SEBAGAI DAYA PENARIK
Persepsi yang biasa kita dengar ialah, kalau kita bina mall Melayu, ia mesti mati. Kemudiannya suasana mall biasanya tidak menyeronokkan sebagai tempat untuk bersantai. Misalnya, orang tak sebut nak ajak melepak di Kompleks PKNS, kerana berasa tak cool.
Kita ada banyak juga mall-mall yang dibina oleh GLC seperti MARA dan PKNS, misalnya. Tetapi ia tidak hidup seperti mall-mall yang lain. Jadi pada kami isunya ialah kandungan di dalam mall itu sendiri. Apakah jiwa yang kita hendak bawa di dalam mall itu.
Sebab itu kita hendak bawa jiwa ke dalam Malakat Mall. Kita ada banyak perancangan tetapi ALLAH swt juga ada perancangannya. Sebab itu empat hari pertama Malakat Mall dibuka sebelum PKP diumumkan, kita merekodkan lebih 24,000 para pengunjung di Malakat Mall, iaitu kira-kira 6,000 pengunjung sehari. Kemudian operasinya dihentikan kerana PKP. Tetapi pasarayanya masih boleh dibuka.
Kini kita masih dalam tempoh pemulihan. Para pelanggan semakin ramai. Sabtu dan Ahad pun semakin penuh, tetapi tidaklah seperti sebelum ini berikutan para pelanggan masih berhati-hati
JENAMA TERKENAL PANDANG SEPI MALAKAT MALL
Di peringkat awal ita menjemput para usahawan Islam yang sudah ada jenama di mall-mall lain untuk membuka perniagaan di Malakat Mall. ‘Jomlah buka perniagaan di sini.’ Kita beri tawaran membuka perniagaan tanpa sewa dan pembahagian pada pendapatan yang diperoleh.
Tiada seorang pun usahawan kita hendak turut serta membuka perniagaan di Malakat Mall. Tetapi saya tak salahkan mereka kerana beranggapan yang mall ini terletak di kawasan yang jauh dari orang ramai, sukar hendak maju. Ada yang kata, ‘ini tempat yang ada jin dan ada buniannya!’
SAMBUTAN PENIAGA MELAYU DI MALAKAT MALL
Tapi kita yakin berusaha dengan niat yang betul bahawa ini mall perjuangan untuk mewujudkan ruang dan peluang, untuk orang Melayu dan Islam. Kini, ramai usahawan kita yang belum bersedia untuk buka kedai, tetapi ramai yang masukkan produk di Malakat Grocer.
Dari segi itu ia memberi manfaat kepada ramai usahawan. Kita ada lebih 500 usahawan bumiputera yang membekal produk. Kita ada juga beri peluang kepada usahawan IKS yang kecil buka reruai(kiosk). Mereka hanya bayar RM1,000 untuk api dan air. Selain itu, kita hanya ambil 10 % sahaja dari jualan. Kita ada lebihkurang 15 usahawan IKS yang buka perniagaan di Malakat Mall.
Mungkin terlalu awal untuk melihat impaknya kepada para usahawan. Kita kena faham bahawa bila kita buka mall-mall Islam ini, kita tiada kuasa untuk menarik jenama-jenama antarabangsa untuk masuk.
ELEMEN ‘COOL’ FAKTOR MENARIK PENGUNJUNG
Kalau ada mall besar seperti The Shore di Melaka, mereka ada juga nama besar seperti Tang, tetapi faktor penariknya tak cukup kuat. Orang nak pergi mall ni mengharapkan apa yang cool di sesebuah mall itu.
Saya lihat biasanya tiada elemen cool di mall kita. Apa yang cool di Glo Damansara? Tak ada apa-apa. Ia hanya premis kedai-kedai sahaja. Apa yang cool dekat Maju Junction? Ia ada kedai makan dan kedai baju. Tetapi jika ia ada Starbuck atau kopitiam, ia akan jadi cool.
Sebabnya ia akan menjadi tempat pertemuan. Bila orang datang bersantai, dan kita ada barangan lain, mereka akan membeli-belah. Kebanyakan mall-mall ini juga tiada jiwa. Walaupun banyak mall-mall lain tiada juga jiwa, mereka ada financial muscle; dana untuk menarik orang untuk datang.
Jenama yang terkenal juga menarik orang ramai seperti Uniqlo. Jenama-jenama yang besar ini akan menarik para pengunjung. Tetapi Malakat Mall tiada jenama antarabangsa. Jenama-jenama Muslim pun tak mahu datang, inikan jenama antarabangsa.
ELEMEN SPIRITUAL DI MALAKAT MALL
Jadi apa yang kita ada? Saya cadangkan faktor utama untuk menarik ialah elemen spiritual. Kita ada waktu rehat 7 minit untuk bersolat berjemaah. Sebelum PKP ada orang datang semata-mata hendak bersolat di lobi Malakat Mall kerana ingin menghayati pengalaman bersolat di ruang mall.
Kalau ada pengunjung yang masuk ke mana-mana kedai dan berhasrat untuk bersalat, beritahu sahaja staf kami dan dia akan beri sejadah dan anda boleh bersolat. Kita lakukan begitu kerana kita hendak membudayakan bahawa solat tidak perlu tempat khusus. Asalkan tempat itu bersih, kita boleh bersolat.
‘Solat break’ 7 minit itu kita adakan agar para pengunjung dapat merasa seperti di Mekah bilamana seseorang itu boleh bersolat di mana-mana sebaik sahaja masuk waktu. Jadi apabila kita bawa benda yang lain khususnya yang spiritual yang menyentuh jiwa, mereka akan rasa hendak bersama.
Kalau kita baca laporan Forbes mengenai mall, pada mulanya mereka laporkan mall offline semuanya mati. Kemudian mereka laporkan mall-mall ini hidup semula kerana usahawan-usahawan online mula membeli mall offline. Ia hidupkan kembali mall-mall ini menjadi mall komuniti.
SASARAN 100 MALAKAT MALL
Jadi, mall terbaik ialah mall yang memberi pengalaman terbaik untuk pelanggan. Kita sasarkan 100 Malakat Mall dan 1,000 Malakat Grocer. Kita hidupkan kembali pembelian online di malakatgrocer.com. Kita buat penghantaran percuma dalam lingkungan sejauh 70 kilometer. Tidak ada belian minima. Walaupun dengan belian bernilai RM10, kita tetap hantar.
Malakat Grocer 812 yang pertama bertempat di Putra Perdana, Puchong, Selangor. Kita boleh berbelanja dan juga berinfaq. Kita ada Infaq Corner di situ untuk sesiapa sahaja yang memerlukan bahan keperluan. Dalam Malakat Grocer 812 pun kita sediakan ruang solat. Bilik tandasnya boleh digunakan untuk umum.
SKIM SUBSIDI UNTUK B40
Dalam masa terdekat ini, kita akan lancarkan skim subsidi makanan untuk golongan B40. Keluarga B40 akan mendapat harga khas yang lebih murah daripada harga jualan. Pihak kami akan gunakan dana untuk bantu golongan ini membayar beza harga yang direkodkan.

Leave a Reply