Coach Fadzil Hashim
Temubual oleh Dato’ Sohaimi Shahadan
11.8.2020.Siri 1/3
S: Boleh ceritakan latar belakang Coach?
Saya dihahirkan dalam keluarga kandung dari Kedah. Kemudian dibesarkan oleh keluarga angkat. Emak orang Puchong, ayah orang Penang. Saya membesar di berek polis Petaling Jaya, Selangor.
Dalam keluarga sebelas adik beradik, saya yang paling bongsu. Luarbiasanya mereka ialah mereka orang susah. Ayah saya seorang Lance Koperal yang sanggup ambil tiga orang anak angkat untuk tinggal bersama lapan orang adik beradik asal.
TIDUR BAWAH MEJA MAKAN
Masa kami kecil dahulu, kami tidur di bawah meja makan. Sebab dulu, berek polis hanya ada satu bilik sahaja. Bila nak tidur, kedua diletak atas meja dan kami tidur di bawah. Alhamdulilah saya dibesarkan dengan penuh kasih saying. Saya belajar hingga UiTM Arau dalam bidang perakaunan.
Pada 2008 saya berhenti bekerja dengan Dell Malaysia sebagai Pengarah Jualan. Lepas itu saya buat bisnes sepenuh masa. Saya ambil lesen coaching bisnes di Amerika Syarikat. Saya memang berniat untuk bantu orang kita.
Pada ketika itu saya rasa nak tolong dari segi coaching perniagaan.
S: Bila telah bekerja dengan syarikat multinasional, apa yang membuatkan Coach hendak berhenti dan buat bisnes?
Bos saya pun dah marah kerana saya berhenti kerja. Ketika itu saya berpendapatan RM70,000 sebulan. Masuk ke pejabat hanya pada hari Isnin dan Jumaat sahaja kerana boleh berurusan secara online.
Bila saya hantar surat berhenti kerja, bos saya bertanya ‘are you crazy?’ Tapi pada waktu itu saya menjaga pasaran di sektor awam. Ketika itu saya melihat orang kita susah. Bila dapat satu projek, mereka ingat dah kaya, tapi tak kaya-kaya pun.
KENAPA ORANG KITA JUAL PROJEK?
Bila mereka dapat projek kerajaan tapi tak dapat pembiayaan bank. Bila hendak teruskan, mereka terpaksa jual projek sebab mereka tak ada duit. Walaupun kontrak itu ada, tapi bila tiba masa hendak memulakan dan tiada pembiayaan, mereka terpaksa jual projek.
Yang untung adalah orang yang jadi pembiaya, atau pun project distributor yang jadi peminjam wang. Bila saya tengok hal ini, saya berhasrat hendak ubah keadaan. Projek masa itu masih banyak lagi.
Semasa saya di Dell, saya wujudkan program pembangunan usahawan. Ketika itu Dell membuat urusan secara langsung kerana tiada reseller management. Bila masuk projek kerajaan, mereka perlu masuk melalui usahawan Melayu atau reseller.
Tapi bila dapat projek, mereka sukar hendak teruskan kerana tak ada duit hendak membeli barangan dari Dell. Mereka tiada LC. Jadi mereka terpaksa minta pihak lain yang supply. Keadaan ini masih berlaku.
MASALAH BISNES MELAYU DI BIDANG KOMPUTER
Kalau tengok IDC Report 2008, saiz pasaran PC dan komputer riba ialah RM5.6 bilion. Kalau hari ini, nilainya sudah mencecah RM 9 bilion. Dan, tiada orang Melayu di peringkat pengedaran. Sebabnya bila nak jadi pengedar, mereka mesti ada kemampuan kewangan.
Pada tahun 2008, saya berhenti dan buka syarikat perolehan saya sendiri, My Distributor. Saya tidaklah banyak modal, tetapi kerana ada nama di Dell dahulu, mereka membantu. Dalam tempoh tiga tahun itu kita dapat jualan RM100 juta.
Masa itu oleh kerana saya di bidang IT, saya berhasrat membantu usahawan Melayu di bidang itu. Bila saya dapat tawaran menjadi T1 distributor. Tapi bila dah buat sendiri baharulah saya dapati ia tidak semudah ketika bekerja dahulu.
JUAL NASI LEMAK TEPI JALAN
Pada waktu yang sama, saya buat perniagaan-perniagaan lain. Saya nak tolong orang besar, saya buat bisnes IT. Bila nak tolong orang kecil, saya buat bisnes jual nasi lemak tepi jalan ~ My Nasi Lemak.
Kita pernah ada 23 kiosk. Mulanya kita buat projek pilot dengan tiga kiosk. Jualan masa itu RM27,000 sebulan. Saya terus berhasrat untuk membesarkan bisnes. Saya beri modal, tempat dan dapur pusat buat nasi lemak. Jadi mereka hanya menjual sahaja. Tapi biasalah saya bertarung pula dengan PBT. Biasa kena sita, kena saman.
Saya juga buat sendiri ternakan lembu hingga 150 ekor, ikan keli, lintah, ayam kampung. Nasi lemak bungkus pun saya hantar ke Petronas. Semua saya buat sendiri.
MULA BUKA BISNES TADIKA
Pada masa yang sama saya buat training. Kebanyakannya pro bono kerana itu sumbangan saya. Tapi dalam banyak-banyak bisnes saya, saya beli sebuah tadika di Kajang. Tadika Cahayaku Gemilang. Pada hujung 2009, saya buat naik taraf tadika.
Di waktu itu ada jenama popular Smart Reader. Kita hendak sama standard dengan tadika itu. Pada 2010 kami naik taraf Brainy Bunch. Tadika Brainy Bunch ini memerlukan perkhidmatan sokongan. Kita perlukan penyenggaraan, dapur pusat, sumber manusia dan sebagainya.
Pada penghujung 2012 saya buat keputusan untuk fokus sepenuhnya kepada Brainy Bunch. Syarikat-syarikat lain saya jadikan hanya jabatan sahaja. Dari satu cawangan jadi 5, 15, 20, 38, 52 sehingga 103 cawangan di seluruh negara termasuk 4 di Singapura, dua di Indonesia dan satu tadika kebajikan di Gaza.
S: Apakah Brainy Bunch yang menjadi penyumbang terbesar kepada kumpulan?
Setakat ini, iya. Inilah tahun kesebelas Brainy Bunch. 2016 saya beli tanah di Cyberjaya. 2017 kita siapkan bangunan dan 2018 kita pindah di kampus baharu. Sekarang kita ada program dari tadika ke IGCSC. Ini adalah Montessori Islamik yang pertama.
S: Jadi macam mana dapat idea hendak buka bisnes mall ini?
Pada tahun 2019, saya buat keputusan buat kelas coaching secara besar-besaran kerana kita ada dewan yang besar di bangunan Brainy Bunch di Cyberjaya. Saya kata inilah tempat kita hendak bina ekonomi Islam.
Kita okey juga dalam pendidikan. Tetapi kita macam tak berjaya lagi dalam pendidikan. Malah pada tahun lepas data menunjukkan pegangan ekuiti kita menurun dari 18 % kepada 16 %.
S: Bagaimana dengan gelombang Buy Muslim First? Apakah Malakat Mall tercetus daripada gelombang ini?
Sebenarnya Buy Muslim First dah lama tercetus. Malah dah bertahun diperkatakan. Saya sendiri ada buat kedai komputer dalam universiti pada tahun 2008. Kita dapat lesen dan pengeluar. Tapi mereka tak mahu sokong.
Tapi pada 2019, saya buat AyuhBangkit yang pertama. Kita buat 8 episod program dengan TV Al-Hijrah dalam kapsul 7 minit. Saya bercakap bagaimana kita hendak berubah dengan pendekatan yang simple.
MASALAH USAHAWAN MELAYU
Selepas itu kita buat program berbentuk seminar. Bayarannya hanya RM10, lebih bertujuan untuk membantu. Selepas seminar, saya tawarkan program bimbingan perniagaan percuma. Apabila saya duduk dengan para usahawan, saya dapati mereka tiada masalah dengan produk. Produk mereka hebat-hebat.
Tetapi masalah mereka ialah mereka terpaksa menjual di pasaran yang kecil. Kalaupun saya beri bimbingan yang percuma 1,000 tahun pun mereka macam itu juga, tidak dapat perubahan yang besar. Sebab isu ini adalah isu lama. Sekarang ini sifu bisnes dah ramai. Legend pun dah ramai. Jumlah pelajar pun ramai.
CRACKING THE CODE: MEMECAH RAHSIA
Tapi kalau kita lihat kadar kejayaan, memang masih rendah. Kenapa? Saya dapat satu jawapan yang saya panggil ‘cracking the code.’ Dalam perniagaan orang kita, mereka berniaga di pasar malam dan pasar tani. Ramai juga yang berniaga secara online.
Kesilapan besar mereka ialah apabila mereka menyasarkan seluruh perkembangan bisnes secara online. Bila kita melihat data di sektor runcit, pada tahun 2019, Malaysia merekodkan perbelanjaan runcit bernilai RM110 billion.
Daripada jumlah itu, orang kita hanya memperoleh 8 % sahaja. Data itu dikongsikan oleh Menteri di KPDNKK. 60 % diperoleh oleh syarikat asing. Kalau kita bershopping kita biasanya berbelanja di pasaraya besar seperti Tesco, Giant dan AEON. Bukan salah mereka.
Tetapi mengapa kita tak boleh buat? Bisnes runcit adalah bisnes menjual baju misalnya; bukannya membuat baju. Ia juga adalah bisnes jual ayam, jual beras, jual sayur. Bukannya kita tak boleh buat.
Kalau pelaburan asing itu masuk untuk membuat projek-projek yang sofistikated, seperti kapal terbang atau kapal selam, itu memang wajar. Tetapi mereka melabur untuk projek menjual barang sahaja.
Kalau kita boleh ambilalih sedikit pemilikan syarikat asing itu ia amat baik. Bila berlaku covid-19, ia menekan kita untuk fokus kepada ekonomi lokal. Kita tidak boleh berharap sangat dengan ekonomi luaran.
Sebabnya sekiranya berlaku lockdown sekali lagi, kita akan bermasalah. Pada tempoh PKP tempohari, kita mungkin keputusan beras jika beras tak dapat diimport dari India. Maknanya kita tidak boleh bergantung dengan pihak luar untuk keperluan asas.
Kenapa orang kita tidak dapat membesar dalam sektor runcit ini? Sebabya ialah pasaran kita kecil dan kita tiada kemudahan untuk memasuki pasaraya yang besar atau shopping mall. Contohnya Tesco di Kelantan, pada hari pertama ia dibuka, jualannya ialah RM1 juta.
KENAPA KITA TIDAK BELI SYARIKAT ASING INI?
Dan setakat ini Tesco di Kelantan sehingga kini merekodkan jualan yang kedua terbaik Tesco di Malaysia. Bayangkan kalau Tesco itu milik kita. Tempoh hari kita ada peluang apabila Tesco hendak dijual. Tetapi kita tidak ambil peluang itu dan pihak dari Thailand yang membelinya.
Bila McDonald’s hendak dijual, orang Melayu tidak ambil pluang untuk membeli. Reveniu McDonald’s itu RM2.3 bilion setahun. A & W juga milik kita dijual. Burger King dulu milik orang kita.
Saya melihat perlunya kita mempunyai market yang besar. Produk kita hebat-hebat, tetapi tiada market yang besar. Maka datanglah idea membuat mall. Sebabnya, transaksi yang besar datang dari mall-mall besar.

Leave a Reply