ALHAMDULILAH. Kelmarin Coach Fadzil Hashim, Pengasas Malakat Mall. Fazli Rahim, Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Istighfar Hamidon, Ketua Pegawai Operasi dan Dean Islam Mohd Fadzil telah berkunjung ke Mmall di Masjid Tanah Melaka. Kunjungan itu adalah untuk membuat tinjauan ke bangunan itu sebelum ia dijelmakan menjadi cawangan Malakat Mall Masjid Tanah.

Mengakui lawatan itu tertangguh berikutan dengan PKP, Coach Fadzil ternyata teruja melihat keadaan bangunan yang cantik itu. “Kita minta dengan ALLAH bangunan lama dan terbiar, ALLAH beri kita bangunan yang baik, yang baharu. Ia cantik, seolah-olah disediakan untuk kami,” katanya disambut dengan senyuman bangga para pegawai MARA Melaka dan Masjid Tanah yang hadir.

“Bangunan yang telah siap empat tahun lalu sebenarnya menunggu masa. Boleh buat roof climbing,” ujar Fadzil seraya mendongak ke arah bumbung bangunan. Di Malakat Mall Cyberjaya, sukan zipline iaitu merentas dari bumbung ke bumbung sudah disediakan untuk peminat sukan lasak.

Bangunan Mmall ini memang melengkapi ciri sebuah mall. Keadaan hawa dinginnya sesuai dengan keluasan kawasan dalaman, penyediaan lampu pun cukup menerangi, permukaan tembok kelihatan cantik iaitu tidak menampakkan keadaan yang berkuap dan ketinggiannya memang menuruti standard mall.

Kewujudan Malakat Mall di Masjid Tanah dijangka akan memberi kemudahan kepada masyarakat setempat. Kemudahan seperti pasaraya untuk barangan dapur, kedai DIY dan restoran dijangka menjadi keperluan komuniti.

Berikutan dengan kehadiran 35,000 orang para pelajar institusi pengajian tinggi di sana seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA Masjid Tanah, Institut Kemahiran Tinggi Belia Alor Gajah, Kolej Komuniti Alor Gajah, Kolej Komuniti Masjid Tanah dan UiTM Lendu, keperluan alatulis dan IT juga dijangka mempunyai pasaran baik di sana.

Malakat bermaksud tempat pertemuan. Ia adalah gelaran bagi Melaka bagi para pedagang Arab di zaman kegemilangan negeri itu. Nama Malakat sengaja dipilih untuk mengembalikan kegemilangan orang Melayu dalam bidang perniagaan.

Semoga nama Malakat Mall akan mengharumi Melaka. Ia akan kembali ke tempat asal ia berdiri!

Leave a Reply