KATA-KATA ALUAN,
COACH FADZIL HASHIM
PENGASAS MALAKAT MALL DI MAJLIS PEMBUKAAN
CASA DE MADANI, MALAKAT MALL, CYBERJAYA
15.8.2020

Kita sengaja dengan niat cuba menggunakan bahasa Melayu, sebab apabila ke fine dining, ucapan biasanya disampaikan dalam bahasa Inggeris. Tetapi Casa de Madani banyak tujuan dan sasarannya. Selain daripada menawarkan makanan dan pengalaman fine dining, kita juga ingin membawa imej bahawa Islam itu yang terbaik dan yang paling hebat.
MEMPAMER KEHEBATAN CASA DE MADANI
Pasukan kulinery Casa de Madani dipimpin oleh Ketua Cef Kumpulan, Cef Azizan Shukri yang merupakan di antara Top 500 World’s Chef, bersama dengan pasukan terpilih yang terhebat. Ini menunjukkan orang kita memang hebat.
Cuma yang tiada adalah platform atau landasan yang mampu menyatukan kekuatan orang kita untuk mempamerkan imej yang hebat, khususnya bangsa Melayu.
Bangsa Melayu dahulunya hebat. Insya-ALLAH pada tahun ini kita tunjukkan kehebatan kita dengan penyatuan kuasa pembeli dan kuasa pembekalan melalui Malakat Mall. Projek Malakat Mall yang kita mulakan kini disempurnakan dengan projek Casa de Madani.
Saya sendiri tidak pernah mengalami suasana tempat makan yang secantik ini. Saya ini orang biasa. Tetapi Cef Azizan membawa pasukan kulinery yang terbaik di negara ini. Dialah orang yang memperkenalkan cef-cef yang hebat di negara kita.
Hari ini kita ada Casa de Madani. Saya rasa inilah fine dining yang paling tinggi standardnya di negara kita. Saya bagi beri mereka kebebasan untuk merealisasikan Casa de Madani. Saya cuma tandatangani persetujuan membinanya.


MARI KITA ALIH TEMPAT BERBELANJA
Alhamdulilah saya yakin bahawa perancangan ALLAH swt itulah yang terbaik. Saya memohon sahabat-sahabat yang hadir pada hari ini memberi sokongan, dokongan dan juga doa. Uar-uarkanlah kepada sahabat-sahabat yang lain.
Ajaklah mereka datang ke Malakat Mall. Mari kita pindahkan perbelanjaan kita dari mall lain kepada mall kita. Mall ini adalah milik bersama melalui pembelian saham hanya RM100 dari Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM).
Kami mulakan projek ini sebagai projek pertama untuk menunjukkan bahawa kita mampu lakukan dan kita harus mengambil peluang. Belanja runcit dalam negara kita pada 2019 bernilai RM110 bilion. Tetapi Bumiputera hanya mendapat syer pasaran hanya sekitar 8 % sahaja. Syarikat-syarikat asing mendapat 60 % peratus.
Ini belanja duit kita yang kita beri kepada syarikat asing. Kita sepatutnya alu-alukan pihak luar negara lakukan pelaburan dalam sektor yang kita tak boleh buat seperti dalam pembuatan kapal terbang, kapal selam atau kereta terbang.
Tetapi kalau kita mahukan masakan, orang Melayu pun terhebat di dunia dalam memasak. Kalau hendak bekalan barang makanan, insya-ALLAH orang Melayu tak kalah.
APA ITU MENDAM BERAHI
Dahulu orang Melayu hebat. Kita ada Mendam Berahi, iaitu nama kapal perang yang dinakhodai oleh Laksmana Hang Tuah.
Mendam Berahi itu membawa maksud, ‘merdeka dan dendam, berani kerana Illahi.’ Malakat Mall ini umpama kapal perang Mendam Berahi yang harus diambil kesempatan dan diambil peluang oleh semua. Kita buka peluang perniagaan, peluang perbekalan dan kita satukan kekuatan kita di sini, Insya-ALLAH.
Insya-ALLAH tahun ini kita tunjukkan orang Melayu hebat juga. Insya-ALLAH kita mulakan gerakan mengambilalih 50 % syer pasaran dalam sektor runcit daripada syarikat asing kepada orang Melayu dalam tempoh 10 tahun. Insya-ALLAH, nilai RM30 bilion menjadi sasaran kita dengan Malakat Mall yang pertama, yang wujud pada hari ini akhirnya akan berganda menjadi 100 mall, insya-ALLAH.

KEJAYAAN AWAL MALAKAT GROCER 812
Semalam, kita baharu lancarkan Malakat Grocer 812, iaitu Malakat Grocer versi kecil, di Putra Perdana, Puchong, Selangor. Kita gabungkan tiga konsep iaitu kedai Speedmart 99, Family Mart dan juga kedai Acheh. Kita jadikan ia tawaran kepada komuniti.
Dan saya hendak kongsikan, jualan Malakat Grocer 812 pada hari pertama mencecah RM14,000. Ini luarbiasa kerana kedainya kecil sahaja. Pelanggan datang bertali arus sebab komuniti di situ dah lama dahagakan kehadiran kita.
Insya-ALLAH kita akan bina lagi Malakat Grocer 812 ke seluruh negara. Mohon maaf sekiranya ada kelemahan. Yang buruk, beritahulah kami. Yang baik pula beritahulah seantero dunia.
BANTU EKONOMI ISLAM SUATU IBADAH
Saya bagi pihak Malakat Mall, khususnya Casa de Madani ucapkan jutaan terima kasih kepada Tan Sri, Puan Seri, Datuk, datin dan Tuan Puan yang hadir. Memang ada serba sedikit kekurangan di sana-sini. Maklumlah kami baharu dan memohon maaf.
Tetapi kita mohon doa dan sokongan melalui perkongsian maklumat. Apabila ada apa-apa majlis keraian, pilihlah Casa de Madani. Insya-ALLAH bila datang ke Cyberjaya di waktu malam, lalulintas tak sesak.
Saya doakan semoga ALLAH swt rekodkan kedatangan sekalian sebagai satu ibadah sebagai salah satu perjuangan untuk membina ekosistem ekonomi Islam yang baharu, yang membawa imej Islam yang hebat, yang mengembalikan semangat bangsa Melayu yang hebat.

Leave a Reply